IZWAN (depan) yang sudah 104 kali beraksi bersama skuad senior turut tersisih.
IZWAN (depan) yang sudah 104 kali beraksi bersama skuad senior turut tersisih.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih hoki negara Stephen Van Huizen mengambil keputusan berani apabila menggugurkan beberapa pemain berpengalaman dalam senarai terbaru 25 pemain bagi persiapan ke Piala Sultan Azlan Shah, bulan depan.

Antara keputusan yang agak mengejutkan dilakukan Stephen menggugurkan penyerang berpengalaman Izwan Firdaus Tajuddin.

Izwan sudah tampil 104 kali bersama skuad senior dan mempunyai pengalaman luas mewakili negara dalam semua kejohanan besar kecuali Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

Senarai terbaru itu menyaksikan semua 15 pemain yang digugurkan termasuk Izwan akan diserap ke skuad pembangunan atau skuad kedua negara di bawah bimbingan Wallace Tan.

“Bagi saya, 15 pemain yang digugurkan tetap pemain utama negara. Jika segala-galanya berjalan baik dan mereka tidak berdepan sebarang kecederaan, mereka juga berpeluang untuk kembali ke dalam skuad utama,” kata Stephen.

Mengulas lanjut mengenai senarai baru skuad negara itu, Stephen berkata semua pemain akan diberi peluang menyertai siri perlawanan persahabatan di New Zealand dari 3 hingga 13 Mac serta Australia (14 hingga 25 Mac).

“Seramai 20 pemain akan dibawa bagi menyertai empat perlawanan bersama skuad New Zealand serta dua perlawanan bersama Korea Selatan.

“Kemudian lima pemain daripada 20 pemain yang mengikuti siri perlawanan di New Zealand akan pulang ke Malaysia dan diganti dengan lima pemain lain yang akan mengikuti siri perlawanan di Perth pula,” katanya.

Antara pemain baru yang berjaya memikat hati Stephen untuk terpilih dalam senarai 25 pemain itu termasuklah kapten skuad Projek 2016, Najib Abu Hassan dan Nik Aiman Nik Rozemi.

Stephen akan mengurangkan barisan pemain itu kepada 18 selepas berakhir siri perlawanan di New Zealand dan Perth untuk mewakili negara pada saingan Piala Sultan Azlan Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 8:12 AM