Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas teruk dibelasah juara dunia Australia kelmarin, ketua pasukan hoki negara Razie Rahim berharap keputusan positif dapat diraih apabila bertemu lawan sama pada perlawanan kedua, hari ini.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen mengalami kekalahan teruk 1-7 kepada Australia, Sabtu lalu sekali gus kekalahan terbesar setakat ini dalam siri perlawanan persahabatan.

“Bagi saya prestasi pasukan setakat ini masih lagi bagus. Banyak peningkatan yang ditunjukkan oleh pemain pada setiap perlawanan.

“Cuma kami ada melakukan beberapa kesilapan mudah. Apapun, banyak perkara yang kami pelajari daripada perlawanan itu, terutama buat pemain baru,” katanya.

Razie berkata, mereka sudah menganalisis perlawanan pertama itu dan ternyata banyak yang perlu diperbaiki.

“Untuk perlawanan seterusnya, kami perlu cuba kurang melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Enam perlawanan di New Zealand menyaksikan skuad negara mencatat dua kekalahan serta masing-masing satu kemenangan dan seri dengan Black Sticks.

Dua perlawanan dengan Korea Selatan selepas itu menyaksikan skuad negara menang 2-1 dan seri 3-3.

Selepas enam perlawanan itu, skuad negara berkunjung ke Perth pula dengan perlawanan pertama menyaksikan Malaysia menang 3-1 ke atas Institut Sukan Australia Barat (WAIS) sebelum dibelasah 1-7 oleh Australia.

Skuad negara masih mempunyai baki dua perlawanan dengan Australia iaitu hari ini serta Khamis sebelum kembali ke tanah air.

Semua perlawanan persahabatan itu adalah sebagai persiapan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dari 6 hingga 16 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 8:58 AM