Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Terry Walsh (gambar) mengaku masih banyak ‘kerja’ perlu dilakukan untuk membentuk pasukan kebangsaan yang mantap.

Selepas menyaksikan skuad negara mengharungi sembilan perlawanan persahabatan, Terry berkata, beliau sudah mengenal pasti kelemahan serta kunci utama untuk membolehkan Malaysia beraksi cemerlang dalam kejohanan besar selepas ini.

“Dua faktor utama iaitu kegigihan serta aksi konsisten sangat penting untuk skuad negara. Ini antara kelemahan yang dapat saya lihat sepanjang siri persahabatan.

“Dua faktor itu perlu diberi fokus utama dalam usaha kita untuk layak ke Piala Dunia, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Jadi, sebenarnya masih banyak lagi yang perlu dilakukan dan pemain perlu bekerja keras untuk mempertingkatkan prestasi mereka,” katanya.

Skuad negara akan turun pada siri perlawanan persahabatan terakhir menentang Australia di Perth hari ini sebelum kembali ke Malaysia.

Anak buah Stephen Van Huizen mencatat kemenangan 3-1 ke atas Institut Sukan Australia Barat (WAIS) pada perlawanan pertama sebelum dua pertemuan dengan Australia berakhir dengan kekalahan 1-7 dan 0-5.

Terdahulu di New Zealand, skuad negara mencatat dua kekalahan satu menang dan seri ketika bertemu New Zealand.

Skuad negara juga cemerlang apabila mencatat satu kemenangan dan seri ketika bertemu Korea Selatan selepas itu di Auckland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:51 AM