SETIAP pemain perlu beraksi konsisten untuk kekal dalam  skuad utama.
SETIAP pemain perlu beraksi konsisten untuk kekal dalam skuad utama.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara akan turun pada aksi ‘pemanas badan’ bertemu New Zealand hari ini menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, Ahad ini dengan dua pemain bakal digugurkan selepas perlawanan itu.

Siapa pemain yang bakal menerima nasib itu masih menjadi tanda-tanya, tetapi ketua jurulatih skuad negara Tai Beng Hai menegaskan, keputusan untuk menggugurkan dua pemain terakhir itu bukan saja bergantung kepada prestasi ketika bertemu New Zealand hari ini, sebaliknya lebih menjurus kepada penilaian yang lebih mendalam.

“Saya mahu lihat sama ada setiap 20 pemain yang ada kini dapat bersaing dan bermain dengan konsisten sepanjang perlawanan.

“Oleh kerana kami mempersiapkan pasukan untuk saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia pada Jun, penilaian itu akan melihat persediaan pemain sebelum ini juga,” katanya ketika ditemui sebelum ke Ipoh, Perak semalam.

Menerusi senarai 20 pemain yang tersenarai untuk ke Ipoh, hampir keseluruhannya barisan pemain sama pernah mewakili negara sebelum ini.

Namun kehadiran Azreen Rizal Nasir sedikit mengejutkan kerana pemain itu sudah lama tidak beraksi dengan skuad negara akibat kecederaan panjang.

Sementara itu, Beng Hai berkata, selain memilih 18 pemain terakhir, beliau akan memanfaatkan sebaik-baiknya perlawanan hari ini sebagai medan terbaik untuk menguji kemampuan pemain negara bertemu lawan yang menduduki ranking lebih tinggi.

Selain skuad negara serta New Zealand, empat lagi pasukan yang bakal bersaing pada kejohanan jemputan itu ialah juara bertahan Australia, Kanada, Korea Selatan serta India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 8:45 AM