Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Betong: Lelaki warga Brunei maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Betong-Sri Aman berhampiran simpang ke Tebarong, di sini.

Abdul Latif Awang Bini, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Sofian Hamdan, 44, yang memandu kereta Honda Integra cedera dan dirawat di Hospital Sri Aman.

Pemandu Proton Saga, Kana Balai, 51, patah paha kanan dan rakannya Mohd Safari cedera dan dirawat di Hospital Betong.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Sri Aman, Mohammad Raffy Saibi, berkata bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.04 petang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mendapati satu kemalangan membabitkan dua kenderaan, satu daripadanya bernombor pendaftaran Brunei.

"Bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta dan diserahkan kepada paramedik. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, Honda dinaiki dua warga Brunei yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuching itu hilang kawalan menyebabkannya terbabas, berpusing dan merempuh Proton Saga dari arah bertentangan.

Raffi berkata, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya kira-kira 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 12:02 AM