FTG akan mengimbau memori peminat dengan lagu popular mereka.
FTG akan mengimbau memori peminat dengan lagu popular mereka.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kejayaan persembahan band death metal Sil Khannaz dan Brain Dead di Hard Rock Cafe Melaka pada 14 November lalu berjaya mengangkat kembali genre muzik berat di mata peminat.

Lanjutan daripada evolusi yang dicetuskan ini, Hard Rock Cafe Melaka sekali lagi akan menjadi medan tempur muzik ekstrem tempatan menerusi persembahan band thrash dan death metal FTG dan Necrotic Chaos.

Di bawah program Live Music Hard Rock Cafe Melaka, kedua-dua band ini akan menampilkan kredibiliti dan karisma mereka dalam muzik ekstrem dalam persembahan di pusat hiburan berkenaan bermula jam 4 petang ini.

FTG yang dilabelkan ‘senior’ dalam genre muzik berat tempatan mula dikenali dengan EP berjudul Freedom Thats Gone pada 1991.

Walaupun lebih banyak bergerak secara underground, FTG mencipta ‘kejutan’ apabila turut bertanding dalam program Muzik Muzik TV3 menerusi lagu Behind This Wall dan Kill Exxl.

Sehingga hari ini, FTG sudah menghasilkan 10 album di mana yang terbaru ialah album Kuasa pada 2006.

Penyanyinya, Tajul berkata, persembahan di Hard Rock Cafe Melaka petang ini dianggap satu penghormatan buat FTG yang sudah lebih 25 tahun dalam industri muzik tempatan.

“Kami anggap persembahan ini sangat eksklusif kerana membabitkan anggota asal FTG iaitu saya, Jac (gitar), Mie (bass) dan Nizam (dram). Saya yakin ramai peminat kami menantinantikan ‘line-up’ ini,” katanya.

Tajul berkata, mereka akan menyampaikan rang­kaian lagu-lagu daripada EP Freedom Thats Gone dan album pertama After The Promise.

“Sudah tentu ia akan mengembalikan memori peminat terhadap lagu ini,” katanya.

Sementara itu, nama Necrotic Chaos memang sudah sebati buat penggemar muzik death metal tempatan.

Kewujudan Necrotic Chaos yang kini dianggotai Adik (penyanyi), Dark-E (gitar), Sam Batara (bass) dan Wira (dram) sekitar 1992 seolah-olah nyata memberi impak kepada legasi yang dikenali sebagai Ipoh Metal Militan.

Mereka awalnya hadir dengan album studio Regime­ Grotesque dan selepas itu berjaya menjadi sebutan peminat yang dahagakan sebuah album death metal yang sempurna.

Malah, album keluaran Ultra Hingax Production ini mendapat ulasan positif di majalah muzik tempatan dan luar negara.

Maklumat lanjut mengenai persembahan kedua-dua band ini, sila layari laman web hardrock.com/melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 8:21 AM