Najib meninggalkan Menara Datuk Onn, PWTC selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO, petang tadi. FOTO Abdullah Yusof
Najib meninggalkan Menara Datuk Onn, PWTC selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO, petang tadi. FOTO Abdullah Yusof
Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Majlis Tertinggi (MT) UMNO secara konsensus menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang media selepas mesyuarat itu berkata, MT juga menetapkan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden sehingga pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun, katanya, jawatan lain yang disandang Muhyiddin dalam parti kekal.

"Keputusan ini dibuat berikutan kegagalan Tan Sri Muhyiddin menjalankan tugas mengikut Fasal 9.8.1 Perlembagaan UMNO.

"Tindakan menggantung dibuat mengikut Fasal 10.15 Perlembagaan yang sama," katanya di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, MT membuat keputusan tanpa kehadiran Presiden parti Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid.

"Mereka berdua keluar semasa keputusan itu dibuat pada mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein," katanya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin tidak hadir pada mesyuarat kali ini kerana berada di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 7:24 PM