GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli


TINDAKAN tukang masak mencuri pakaian dalam wanita untuk dihadiahkan kepada isterinya membawa padah apabila dia dihukum penjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Kok Foo, 36, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Salamiah bertanya kepada tertuduh sebab dia melakukan perbuatan itu.

“Saya mencuri barangan itu untuk menunjukkan penghargaan kepada isteri,” jawab tertuduh.

Salamiah kemudian berkata, tindakan tertuduh itu bukan jalan yang betul.

“Kamu ingat memberi dengan hasil mencuri ini adalah jalan yang betul? Ini bukan jalannya, dan saya harap kamu tidak mengulangi lagi,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil dua baju dalam, satu pasang pakaian dalam dan satu biji bantal keseluruhannya bernilai RM109.60 milik Pasaraya AEON di IOI Puchong pada 10 malam kelmarin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, peguam Mohd Yusri Yusoff yang mewakili Kok Foo memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh sudah insaf dan perlu menyara keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee, bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan dengan mengambil kira peningkatan kes kecurian kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 6:02 PM