PASUKAN penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan.
PASUKAN penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan.

Moscow: Sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak terbunuh apabila satu letupan gas menyebabkan sebahagian blok sebuah rumah pangsa lima tingkat runtuh.

Kejadian berlaku di bandar Yaroslavl, utara Moscow, kira-kira jam 4.20 pagi (waktu tempatan).

“Lima rumah musnah sama sekali. Tujuh orang mati, termasuk dua kanak-kanak,” menurut kenyataan Kementerian Kecemasan tempatan.

Tiga penduduk yang cedera dikejarkan ke hospital sementara pihak berkuasa memindahkan 131 orang dan menempatkan mereka di pusat perlindungan sementara.

Jurucakap kementerian berkata, punca letupan masih tidak diketahui.

Gabenor wilayah Yaroslavl, Sergei Yastrebov berkata, usaha dilakukan untuk memeriksa sama ada ia selamat untuk penduduk mengambil barangan mereka dari bahagian blok itu yang masih tegak.

Letupan berpunca daripada kebocoran gas yang sering berlaku di Russia, khususnya bangunan lama yang dibina ketika era Soviet.

Pada Februari 2012, sepuluh orang terbunuh di Astrakhan apabila letupan gas memusnahkan sebuah bangunan sembilan tingkat. Pada Disember pula, beberapa orang terbunuh dalam letupan serupa di Volgograd.

Pada 23 Julai tahun sama, 23 askar Russia maut apabila barek tentera mereka runtuh di Siberia selepas pengubahsuaian saluran gas siap kira-kira dua tahun sebelumnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 8:59 AM