WAJAH baru spa kecantikan Astalift.
WAJAH baru spa kecantikan Astalift.
Nor Faizah Mohamed

Lembut dan menenangkan. Ia rangkuman awal yang dapat dibuat saat diri melangkah masuk ke spa kecantikan terkini Astalift di Isetan, The Gardens, baru-baru ini.

Haruman mawar Damask yang disertakan sebagai terapi deria dalam sesi rawatan wajah di sini sememangnya mampu melegakan minda dan diri yang keletihan dek hambatan tugasan harian.

Tidur dan rehat yang cukup bersama rutin penjagaan wajah teratur amat digalakkan untuk penampilan wajah sihat berseri. Namun sesekali wajah dibelai si pakar terapi memang mengujakan terutama apabila ia diselang-selikan dengan urutan lembut pada seluruh wajah lalu turun ke bahu.

Ketika ini, rawatan menganjal dan mencerahkan kulit amat popular dalam kalangan wanita tempatan. Selain penggunaan krim khas yang diamalkan di rumah, rawatan jenis ini mula jadi pilihan berikutan ia tidak memerlukan pembedahan.

Bagaimanapun, rawatan penghidratan lebih menarik perhatian penulis memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan amalan gaya hidup yang kurang sihat.

Setiap rawatan wajah yang disediakan di spa ini dilakukan mengikut keadaan serta masalah kulit yang dihadapi pengunjung. Pengunjung terlebih dulu perlu disoal selidik oleh pakar terapi kecantikan dan mengisi borang maklumat bagi menentukan jenis rawatan wajah yang sesuai dengan masalah kulit.

Selepas itu, rawatan dilakukan mengikut beberapa proses utama seperti membersihkan wajah, menyegar, menyingkirkan bintik hitam dan jeragat, melulur serta pupur.

Proses tambahan seperti Q-Switch iaitu rawatan laser diperlukan jika mempunyai masalah kulit yang sukar diatasi dengan kaedah biasa.

Kembali kepada rawatan penghidratan yang dipilih, ia bukan saja memberikan lembapan yang diperlukan, malah meningkatkan keanjalan serta tahap kolagen semula jadi kulit.

Meskipun kulit penulis berada dalam kategori kombinasi, iaitu berminyak di zon-T sekitar dahi dan hidung sementara kering di bahagian dagu, rawatan ini membantu menyeimbangkan keadaan kulit yang berminyak itu sementara memberi lembapan yang diperlukan di kawasan yang lebih kering.

Dengan menggunakan gabungan rangkaian White dan In-Focus, rawatan ini ditunjangi lima elemen penting iaitu ‘Freshness’ (Segar), ‘Shine’ (Sinar), ‘Healthiness’ (Sihat), ‘Firmness’ (Tegang) dan ‘Translucency’ (Lut Cahaya) bagi memberi keseimbangan kepada rutin penjagaan wajah harian.

Menurut perunding kecantikan yang mengendalikan rawatan wajah untuk penulis, Azilah Karim, wujud persepsi negatif mengenai rawatan lembapan ini berikutan ramai beranggapan ia hanya menyebabkan kulit lebih berminyak.

GABUNGAN rangkaian White dan In-Focus dalam rawatan wajah selain menggunakan pelembap bagi menggantikan minyak urut.
GABUNGAN rangkaian White dan In-Focus dalam rawatan wajah selain menggunakan pelembap bagi menggantikan minyak urut.

“Ramai salah anggap bahawa rawatan lembapan pada wajah, sama ada dilakukan sendiri di rumah atau di spa, tidak sesuai untuk mereka yang mengalami kulit berminyak.

“Walaupun kulit berminyak, kita masih boleh mendapat kebaikan rawatan lembapan dengan menggunakan produk serta mengamalkan rutin penjagaan yang betul. Pelembap digunakan untuk meningkatkan penghidratan kulit dan ada pelbagai jenis pelembap yang sesuai bagi setiap keadaan kulit.

“Bagi yang berminyak disyorkan penggunaan pelembap berasaskan air sementara kulit kering terarah kepada pelembap berasaskan minyak terutama minyak pati.

“Sebaiknya kenal pasti dahulu keadaan keseluruhan kulit dengan rundingan bersama pakar dan hanya lakukan rawatan bersesuaian bagi mengelakkan kemudaratan pada kulit,” katanya.

Dalam masa sama, bukan hanya rawatan wajah yang dititikberatkan di spa ini tetapi juruterapi membantu memberikan kesegaran keseluruhan menerusi urutan mini yang melegakan ketegangan pada bahagian kepala, leher, bahu, belakang tubuh, tangan sehingga ke siku.

Pelembap digunakan bagi menggantikan minyak urut kerana rasionalnya bahagian terbabit jarang diberikan perhatian dan turut mengalami masalah lembapan.

Seperti apa yang ditampilkan oleh jenama kosmetik premium dari Jepun ini, kecantikan perlu bermula dari dalam bagi memperlihatkan seri secara keseluruhannya.

Teknologi nano, teknologi antioksidan, kajian kolagen dan teknologi kawalan dan analisis cahaya digabung dalam rangkaian produknya untuk membantu memperbaiki pelbagai masalah kulit yang dialami wanita.

Astaksantin contohnya adalah daripada formula partikel nano yang dibangunkan Fujifilm, pengasas Astalift, bagi membantu meningkatkan keanjalan kulit dan menyerlahkan seri dari dalam.

Ia juga mengembangkan formula ‘Human-Typo Nano Ceramide’ untuk mereka yang mengalami masalah kulit kering. Menerusi penggunaan krim Jelly Aquarysta, seramida menjadi tunjang kepada lembapan kulit dan teknologi nano disatukan bagi menghasilkan seramida yang seakan sama didapati pada kulit manusia.

Hasilnya, penggunaan krim ini membantu kulit bersedia untuk rutin penjagaan seterusnya, sekali gus memudahkan proses pemulihan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 11:27 AM