INA dan Suhaimi sama-sama membina nama dalam industri seni.
INA dan Suhaimi sama-sama membina nama dalam industri seni.
Oleh Nor Akmar Samudin


Sejak berumah tangga dan dikurniakan empat cahaya mata, wanita yang pernah terpalit kontroversi sedikit masa lalu begitu padat rutin hariannya sebagai isteri dan ibu.

Kini wanita berjiwa kental ini mahu kembali aktif di persada seni tanah air.

Kira-kira 10 tahun lalu, Ina Naim, 33 atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim pernah dilamar syarikat rakaman Hijjaz Records dan menerusi kerjasama itu Ina hadir dengan dua album mini solo berjudul Duhai Hati dan Lukisan Hati.

Menyelami lubuk hatinya, kata Ina, dia sedar dia bukan penyanyi yang bagus, tetapi masyarakat sudah mengenali siapa dirinya.

“Dengan anak-anak yang semakin membesar, saya sudah punya sedikit ruang dan waktu untuk bergerak di luar, antaranya merancang untuk menyanyi semula.

“Suara saya tidak semerdu mana, tetapi saya sudah ada ‘nama’ dalam industri muzik dan banyak rancangan yang saya serta suami (penyanyi nasyid, Mohd Suhaimi Saad) sedang rangkakan menerusi syarikat kami, Karya Mosus yang diusahakan sejak 2007.

“Jika orang lain agak sukar untuk membina nama, tetapi saya pula hanya perlu menyuburkan semula bidang yang sudah lama ditinggalkan itu,” katanya.

Menurut Ina, tiada masalah untuknya meneruskan impiannya itu kerana Suhaimi turut merestui kerana suaminya itu tahu dia wanita yang sudah biasa bekerja.

“Rugi jika saya tidak melakukan apa-apa. Apabila kami bersama-sama dapat membina nama dalam industri, banyak yang kami boleh lakukan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Insya-Allah saya akan ke studio rakaman dalam masa terdekat,” katanya.

Menyentuh perkembangan Suhaimi, dia yang bergerak secara solo selepas meninggalkan kumpulan Inteam pada 2006, tampil dengan album solo keempat edaran Arteffects International Sdn Bhd, milik penyanyi nasyid Hafiz Hamidun.

Berbekalkan pengalamannya yang panjang dalam dunia nasyid tanah air, Suhaimi kini mampu mencipta lagu dan lirik sendiri.

Album barunya itu memuatkan lapan lagu apabila dua lagu ciptaan Hafiz berjudul Cinta Sidna dan Maksud Hidup.

Pada pertemuan itu juga, Suhaimi bercerita darah seni yang mengalir dalam tubuhnya kini diwarisi semua anaknya iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 8, Salman Elkhoyri 6, Phyrosh Elfadwah, 4 dan Nur Layla Elghufrony, satu tahun setengah.

Di bawah Karya Mosus, dua anaknya Ehmad dan Salman sudah siap merakamkan album memuatkan doa serta selawat.

“Keempat-empat anak kami minat menyanyi dan lagi senang bekerja dengan Ehmad serta Salman kerana mereka mudah ingat doa serta selawat yang diajarkan. Rakaman siap dalam masa tiga hari tanpa melakukan banyak kesilapan,” katanya.

Dengan pembabitan seluruh keluarga itu dalam bidang seni, ia merapatkan lagi hubungan kekeluargaan mereka di mana Suhaimi yang juga bekas guru mengajar anaknya sendiri di rumah.

“Anak saya bersekolah di rumah. Saya mengajar semua mata pelajaran. Tiada masalah mengajar mereka kerana saya guru yang tegas walaupun mengajar anak sendiri.

“Saya pernah menghantar mereka bersekolah tadika di luar, tetapi perkembangan pembelajaran mereka perlahan berbanding saya sendiri yang mengajarnya.

“Sampai satu tahap saya akan melihat kecenderungan anak dan baru saya akan menghantar mereka menuntut ilmu di luar berdasarkan minat masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ina berkata, ada juga rakan artis yang mengenalinya sejak dulu mengajak dia menyertai program mereka seperti anjuran kumpulan Usrah Fitrah yang dianggotai Yatt Hamzah dan Heliza Helmi, tetapi dia lebih senang untuk bersama-sama dengan suami dan anak-anaknya.

“Jika saya ada ceramah dan aktiviti keagamaan, kami sekeluarga akan pergi bersama-sama. Selama sembilan tahun kami mendirikan rumah tangga, Suhaimi adalah ‘guru’ yang mengajar saya mengenai kehidupan dan agama.

“Bukan tidak mahu bercampur dengan kawan-kawan di luar tetapi lebih baik saya bersama-sama keluarga. Apabila kita mencari rezeki dengan keluarga sendiri, Allah akan bantu dan mendapat lebih keberkatan daripada-Nya,” katanya.

Pasangan suami isteri itu juga merancang untuk mengeluarkan produk makanan tambahan bersandarkan kepada makanan sunnah seperti yang diamalkan Rasulullah bagus untuk kesihatan dan minda.

“Kami sekeluarga akan jadi model untuk produk kami itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:24 AM