SUHAIMI bersama isteri dan empat anak.
SUHAIMI bersama isteri dan empat anak.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Biarpun mengumumkan tidak mahu lagi menjadi penyanyi nasyid, bekas anggota kumpulan InTeam, Suhaimi Saad, 41, mengakui akan terus kekal dalam industri seni hiburan tempatan.

Suhaimi kini tampil dengan album terbaharu bersama kumpulan Bismillah yang dianggotai oleh isteri, Ina Naim dan empat anak mereka iaitu Ehmad Hadie El Fardie, 13; Sallman El Khoyri, 11; Phyrosh Ed Fadwah, 9; dan Nurlayla El Ghufrony, 7.

"Saya akan terus menyanyi mengikut cara sendiri dan selagi ada suara. Tanpa jenama nasyid pun saya masih boleh berkarya.

"Justeru saya menghasilkan album bersama kumpulan Bismillah yang ditubuhkan pada Januari lalu. Ia dianggotai saya dan isteri, Ina Naim serta anak-anak," katanya kepada Harian Metro.

Album berjudul Bismillah itu memuatkan lagu bertajuk Bismillah, Awwaluddin, Zafeen Solawat, Tiang Agama, Astaghfirullah, Jutawan Pemurah, Aku Bukan Nabi, Ghurobak, Keagungan Tuhan dan Selimut Putih.

Suhaimi bertegas tidak mahu digelar kumpulan nasyid atau genre terbabit kerana mereka hanya menyanyikan lagu berunsurkan positif, nasihat dan ketuhanan.

"Ikutkan ramai juga artis pop lain buat macam ini dan mereka tak dipanggil penyanyi nasyid pun.

"Album terbitan saya sepenuhnya ini baru sahaja siap. Ia dijual dengan harga RM30 termasuk pos.

"Kami jual dalam bentuk CD dan hantaran file dan juga menerusi aplikasi WhatsApp. Mereka yang berminat boleh menghubungi saya secara WhatsApp di nombor 0102769675," katanya. 

Terdahulu Suhaimi mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan ingin bersara sebagai penyanyi nasyid selain tidak lagi mahu disapa dengan gelaran ustaz kerana ia gelaran yang tidak memberi apa-apa makna.

Suhaimi memulakan kerjayanya pada tahun 1999 dengan menyertai kumpulan nasyid In-Team.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 12:17 PM