Omar Ahmad


Johor Bahru: "Arwah suami pergi dalam keadaan yang tenang dan mudah, di sisi saya serta semua anak-anak kami," luah Ina Naim.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim berkata, suaminya Mohd Suhaimi Saad yang juga bekas penyanyi kumpulan In-Team itu sudah mula batuk teruk sejak Ogos lalu.

Katanya, kesihatan suaminya semakin merosot awal Oktober selepas mengalami cirit-birit sehingga susut berat badan sebanyak 20 kilogram (kg).

"Arwah tidak muntah hanya batuk teruk sejak bulan Ogos dan alami cirit birit. Arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu.

"Sejak di Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya. Ketika hidup, arwah suami ada cakap hendak hidup sehingga usia 43 tahun, dan 12 Oktober lalu genap usianya 43 tahun," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSI di sini, malam ini.

Suhaimi Saad, 43, disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Menurut Ina, arwah hanya meninggalkan pesan meminta maaf kepada semua orang seperti yang dimuat naik di laman sosial TikTok miliknya sebelum ditidurkan.

Katanya, sebagai isteri arwah, pihaknya juga memanjatkan permohonan maaf bagi mewakili arwah suaminya.

INA bersama seorang anaknya ketika menunggu jenazah suaminya, Shuhaimi (gambar kecil) di HSI. FOTO Nur Aisyah Mazalan
INA bersama seorang anaknya ketika menunggu jenazah suaminya, Shuhaimi (gambar kecil) di HSI. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, terminum atau terambil apa-apa, saya memohon maaf bagi pihak dia," katanya.

Allahyarham Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Suhaimi dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga Ina di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di sana kira-kira 9 pagi esok.

Berita berkaitan

Suhaimi masih ditidurkan, doktor sahkan bebas tibi

'Organ dalaman Suhaimi Saad gagal berfungsi, terpaksa bergantung alat bantuan pernafasan'

'Ya, suami sakit, tak sihat sedikit. Doakan ya' - Ina Naim

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 11:14 PM