PENYERANG Johor DT Mohd Safee  Sali (tengah) diasak pemain Geylang International FC  pada perlawanan persahabatan, kelmarin.
PENYERANG Johor DT Mohd Safee Sali (tengah) diasak pemain Geylang International FC pada perlawanan persahabatan, kelmarin.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: “Johor Darul Ta'zim (Johor DT) bukan untuk pemain yang berasa terlalu selesa,” tegas pemilik kelab Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail menegaskan, Johor DT adalah untuk pemain yang sanggup bekerja keras dengan semua 27 pemain bakal berdepan rombakan dengan senarai penuh skuad akan dimuktamadkan sebelum tarikh tutup pendaftaran, 14 Februari depan.

Ketegasan Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) ada asasnya kerana tiga aksi persahabatan pramusim nyata mengundang rasa tidak puas hati beliau.

“Semua 27 pemain belum tentu selamat. Tidak kisah siapa saja, baik senior atau remaja, boleh keluar dari pasukan jika sudah tidak bersemangat bersama Johor DT.

“Tak ada orang lebih besar daripada kelab dan jika saya tidak puas hati, perubahan akan dilakukan.

“Saya tahu apabila memasuki fasa pramusim, ada pemain tampak penat kerana tumpuan lebih terarah kepada latihan kecergasan, namun selepas bermesyuarat dengan ketua jurulatih Mario Gomez dan pasukan teknikal, apa yang boleh saya rumuskan akan ada sedikit perubahan,” katanya.

Malah, Tunku Ismail juga menegaskan kedudukan semua pemain tempatan dan import belum selamat untuk beraksi bersama Johor DT.

Sambil memberi contoh pemain import baru, Paulo Rangel, beliau menyifatkan dia seorang pemain baik dan sedang bekerja keras untuk menyesuaikan diri

“Paulo memang baik tapi mungkin ada perbezaan dengan falsafah cara permainan Johor DT. Saya tidak ada masalah mengenai permainannya tapi terserah kepada Gomez untuk menentukan pasukan mana yang dia harus wakili. Apa saja keputusan beliau semuanya adalah untuk kebaikan pasukan.

“Begitu juga dengan Rozaimi (Abdul Rahman). Buat masa ini dia sedang menjalani proses pemulihan dan Gomez akan menentukan sama ada dia akan beraksi bersama Johor DT atau Johor DT II,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:42 AM