TIADA harta yang tinggi nilainya selain curahan kasih sayang seorang ibu
TIADA harta yang tinggi nilainya selain curahan kasih sayang seorang ibu
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Seorang ibu boleh menjaga 10 anak tetapi 10 anak itu belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Ungkapan itu ada benarnya kerana jika melihat senario sejak kebelakangan ini, ramai yang tidak sanggup menjaga ibu masing-masing dengan alasan sibuk bekerja.

Menurut kaunselor motivasi dan keluarga, Hushim Salleh, ada kes yang dirujuk kepadanya, seorang ibu tua yang terpaksa tinggal seorang diri meskipun memiliki ramai anak yang berjaya.

"Ibu ini walaupun sedih, dia reda tidak mendapat kasih sayang dan jagaan daripada anak-anaknya.

"Ungkapan reda yang diucapkan sentiasa disulami dengan air mata kerana jauh di lubuk hatinya, dia sememangnya sedih meniti akhir usia keseorangan tanpa keluarga tersayang di sisi.

PENGORBANAN ibu dalam mendidik dan membesarkan anak-anak sememangnya tidak akan dapat dibalas dengan wang ringgit
PENGORBANAN ibu dalam mendidik dan membesarkan anak-anak sememangnya tidak akan dapat dibalas dengan wang ringgit

"Kes seumpama itu bukan baharu kerana ramai anak-anak zaman ini tidak menghormati ibu mereka dan ada yang berkira dengan duit, masa serta tenaga yang dicurahkan padahal ibu hanya seorang sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Hushim berkata, tiada harta yang tinggi nilainya selain curahan kasih sayang seorang ibu.

Pengorbanan ibu dalam mendidik dan membesarkan anak-anak sememangnya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit.

Namun apa yang diharapkan mereka hanyalah kasih sayang daripada anak-anak sehingga hujung nyawa.

Kata Hushim, seorang ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup anak-anaknya dan tidak pernah berkira untuk menolong dalam apa juga perkara .

"Jadi, sebagai anak walau sesibuk mana pun dengan kerja, jangan sesekali lupakan ibu lebih-lebih lagi jika mereka keseorangan di kampung.

"Hubungi mereka selalu dan ucapkan kata-kata sayang sentiasa, jika mampu jangan lupa belanjalah makanan atau apa jua yang menjadi kegemaran mereka

"Sementara ibu kita masih ada, hargailah mereka kerana syurga itu di bawah tapak kakinya dan doa dari ibu jugalah yang membawa keberkatan kepada hidup kita," katanya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Ibu, pendakwah dan juga pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh mahu golongan lelaki yang bergelar suami turut memainkan peranan dalam mendidik anak-anak.

Kata beliau, kesibukan mencari nafkah tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab itu kepada si isteri.

"Tugas seorang ibu atau ayah sememangnya lebih mencabar pada zaman moden hari ini, jadi kedua-dua pihak perlu saling bantu-membantu untuk menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak.

SEMENTARA ibu masih ada, hargailah mereka
SEMENTARA ibu masih ada, hargailah mereka

"Ini kerana anak-anak bukan sahaja aset yang penting untuk akhirat ibu bapa malah kepada negara.

"Jadi, bantulah isteri untuk mendidik anak-anak dengan lebih berdisiplin, rapi, teliti dan penuh keimanan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, suami mempunyai peranan besar untuk membantu si isteri bagi memastikan mereka dapat menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak.

Katanya, tidak kira masih hidup atau sudah meninggal dunia, ibu perlu sentiasa berada di hati anak-anak .

"Hadiah terbaik buat ibu bapa yang sudah tiada adalah doa, jadi jangan lupa kirimkan doa buat mereka setiap hari.

"Jika masih mempunyai ibu bapa berbuat baiklah dan sentiasa gembirakan hati mereka kerana merekalah kunci syurga kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 7:00 AM