TOYOTA Corolla KE20 tampil istimewa.
TOYOTA Corolla KE20 tampil istimewa.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Toyota Corolla keluaran 1970 hingga 1990 adalah antara model yang masih menjadi kegilaan ramai peminat kereta buat masa ini.

Biarpun model itu sudah dimamah usia dan diganti dengan jentera lebih canggih, minat terhadap kereta lama masih menebal dalam diri mereka.

Minat terhadap kereta lama tidak dikuasai golo­ngan lelaki sahaja, malah turut diceburi wanita seperti kenderaan ubah suai yang dipaparkan dalam ruangan Vroom minggu ini.

Penjawat awam dari Manjung, Perak, Zulaila Fitri Yusop, 32, sanggup menunggu lebih dua tahun iaitu tempoh baik pulih bagi Toyota Corolla KE20 keluaran 1974 yang dibeli daripada rakan suaminya.

Biarpun mengikut jejak suami yang juga penggemar modifikasi kereta, kenderaan miliknya itu tampil berbeza dengan mengekal tema gaya retro dan klasik.

Pengaruh daripada rakan suaminya yang juga ahli kelab kereta lama menjadi pendorong untuk Zulaila melakukan kerja ubah suai jentera terbabit supaya lebih menarik dan boleh dipandu di jalan raya.

Modifikasi bermula dua tahun lalu dengan melakukan kerja berperingkat membabitkan baik pulih badan, luaran dan dalaman apabila jentera itu berkarat serta berlubang. Bahagian luaran masih mengekalkan komponen asal termasuk lampu, panel krom serta bampar tetapi menerima sentuhan aksesori tambahan supaya tampil unik.

Jentera itu menggunakan enjin 4AGE bersesaran 1,600cc yang diambil daripada Toyota Sprinter GT tetapi kerja pemasangan rangkaian kuasa itu tidak mudah kerana tapak asal perlu diubah suai dulu.

Enjin itu dinaik taraf de­ngan menggunakan bara­ngan berprestasi tinggi jenama Toda terutama aci, gegelung injap dan banyak lagi. Paling ketara, ia menggunakan omboh Toda 81 milimeter (mm), selain dilengkapi kotak gear manual lima kelajuan Toyota AE86 dengan padanan klac tunggal berprestasi Ogura.

Jentera lama yang menggunakan enjin besar itu sudah pasti lebih panas ketika tenaganya dikerah. Justeru, sistem penyejuk enjin asal diganti Mitsubishi Evolution IV bagi mengawal kadar kepanasan. Pengendalian­nya dipertingkat­kan selepas menggunakan pe­nyerap hentak boleh laras jenama Tien, selain menggunakan sistem brek daripada Nissan Silvia.

Ketika ditanya mengenai kos ubah suai itu, Zulaila eng­gan mendedahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:01 AM