TOYOA Carina yang sukar ditemui.
TOYOA Carina yang sukar ditemui.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Minggu ini, ruangan modifikasi mengetengahkan Toyota Carina TA 60 Coupe yang mempunyai enjin berkuasa serta sukar ditemui jalan raya di negara ini.

Biarpun bentuk luaran kelihatan standard, kuasa yang dibekalkan daripada enjin bersesaran 2,000cc daripada Toyota Altezza pasti mengejutkan ramai peminat modifikasi tempatan.

Mungkin ramai yang berasa pelik berikutan enjin itu dikatakan kurang sesuai digunakan pada jentera berkenaan, namun dengan sedikit pengubahsuaian pada tapak bahagian enjin serta sistem pendawaian membuatkan ia mampu dipandu dengan lancar.

Percaya atau tidak, sekali tekan pedal minyak sahaja ia menghasilkan kelajuan luar biasa dan boleh dipandu melebihi 200 kilometer sejam.

Pemiliknya, Ikhwan Shah Sahar, 30, mengakui sukar untuk menemui kenderaan itu di Semenanjung Malaysia sehingga dia terpaksa membeli dari Sabah.

Walaupun sedar kos penghantaran ke Semenanjung agak tinggi, ia tidak memberi masalah berikutan terlalu meminati kenderaan berkenaan.

Selepas dibawa pulang ke Pulau Pinang, perkara utama yang difikirkannya adalah mahu menukar enjin lebih berkuasa.

Enjin asalnya yang dikatakan tidak ‘kuat’ segera digantikan enjin 3S TS-GE BEAMS daripada komponen kereta potong Toyota Altezza.

Hanya sedikit pengubahsuaian sahaja dilakukan untuk memuatkan enjin itu berikutan bentuknya lebih besar daripada yang asal.

Berikutan enjinnya yang sudah mantap, pemiliknya hanya menukar sistem kawalan penapis udara jenama Apexi yang disokong hos tahan panas daripada Sumco.

Jentera yang mengekalkan banyak komponen asal itu masih dijaga rapi, malah logo asli yang sukar ditemui juga masih tersergam indah pada jeriji hadapan dan but belakangnya.

Ia juga diceriakan rim sport tiga bilah bersaiz 15 inci supaya tampak sedikit sporty dan direndahkan dengan menggunakan penyerap hentak boleh laras jenama Tien.

Ekzosnya dipertingkatkan dengan sistem 4-2-1 bersaiz besar daripada jenama FTK Titanium untuk menghasilkan bunyi lebih garang.

Ikhwan yang sebenarnya ahli Kelab Pemilik Carina (COCM) melaburkan lebih RM25,000 untuk merealisasikan impiannya memiliki jentera lama yang unik dengan kekuatan enjin luar biasa.

INFO

TOYOTA CARINA TA 60 COUPE KELUARAN 1982

- UBAH SUAI:

* Toyota Altezza 3S TS-GE BEAMS 2,000cc

* Tapak enjin diubah suai

* Sistem pendawaian dan pemanduan diubah suai

* Pump utama Toyota Altezza

* Penyerap hentak boleh laras Tien

* Brek semi LSD 86

* Ekzos FTK Titanium

- KOS: Lebih RM25,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:00 AM