Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masih belum membuat pengesahan berhubung dakwaan penamatan kontrak jurulatih Mehmet Durakovic kerana enggan menerima tugas baru selaku pengarah teknikal.

Pengurus pasukan Amirudin Shari berkata, kedudukan jurulatih itu masih lagi dibincangkan dan status siapa jurulatih yang bakal membimbing Gergasi Merah musim depan bakal diketahui minggu depan.

“Masih belum ada keputusan. Kemungkinan kami umumkan (jurulatih Selangor) pada 28 atau 29 Disember ini. Perkara ini masih lagi dibincangkan,” katanya.

Arena Metro baru-baru ini melaporkan menerusi maklumat sumber rapat FAS, Durakovic bakal meninggalkan Selangor apabila tidak mahu menerima tugas sebagai pengarah teknikal selepas tempatnya diambil alih bekas jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan.

Persetujuan sudah dicapai antara kedua-dua pihak dengan FAS bersedia melunaskan baki kontrak setahun Durakovic yang bernilai hampir RM900,000.

Kehadiran empat pemain baru dari Pahang Khairul Azhan Khalid, Mohd Razman Roslan, Mohd Hafiz Kamal dan R Gopinathan seakan-akan menguatkan lagi spekulasi Zainal bakal membimbing Selangor.

Perancangan FAS ini bagaimanapun kurang disenangi sebilangan besar penyokong Gergasi Merah selepas jurulatih itu berjaya membawa pasukan menjuarai Piala Malaysia ke-33 pada 12 Disember lalu.

Bagaimanapun, Amirudin menegaskan mereka tidak meminggirkan Durakovic dalam membuat keputusan pengambilan pemain baru.

“Pemain baru yang dibawa masuk sudah dibincangkan sejak September lalu. Segala keputusan dibuat bersama dan jurulatih turut memberi cadangan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 8:58 AM