ZAINAL (kiri) mungkin kendali Selangor musim depan.
ZAINAL (kiri) mungkin kendali Selangor musim depan.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan bakal kembali melatih skuad Red Giants?

Kemungkinan itu boleh berlaku selepas jurulatih berusia 54 tahun itu yang dipecat pada Ogos lalu didakwa tidak menerima pampasan penuh baki kontrak sebaliknya Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hanya membayar gaji bulanan kepadanya.

Menurut sumber dalaman FAS, pelantikan semula Zainal antara langkah penjimatan persatuan bagi mengharungi musim depan.

“Walaupun dipecat, Zainal menerima gaji bulanan dan bukannya pampasan penuh baki kontraknya. Pihak yang memecat hanya menguar-uar di Facebook, tanpa surat. Tapi mendakwa mereka profesional.

“Apa yang dilakukan adalah satu pembaziran untuk membayar pampasan itu, sama seperti dilakukan apabila terpaksa membayar pampasan besar ketika memecat Mehmet Durakovic dan kemudian kini mula sibuk mahu melantiknya semula.

“Jadi Zainal antara pilihan yang bakal dipertimbangkan FAS kerana beliau masih ada kontrak sehingga tahun depan,” katanya kepada Arena Metro.

FAS kini sedang memilih calon terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Zainal selepas jawatan itu dipangku penolong jurulatih K Gunalan.

Red Giants gagal memenangi sebarang piala musim ini termasuk gagal mempertahankan gelaran Piala Malaysia selepas tumpas kepada Kedah pada final di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

Ramai pihak yang meletakkan kegagalan dan kekalutan yang berlaku dalam kem Selangor ketika ini atas keputusan FAS namun sumber itu mendakwa segala urusan pemilihan jurulatih dan pembentukan pasukan ditentukan pengurus Amirudin Shari.

“Pada September 2015, Exco FAS memaklumkan kepadanya (Amirudin) untuk mengambil alih pasukan sepenuhnya dengan FAS hanya menguruskan pasukan lain seperti Piala Presiden, tapi apabila pasukan tak menyerlah, FAS dipersalahkan,” katanya.

Jelas beliau apa yang membimbangkan ketika ini apabila kemelut dalaman pasukan menyebabkan perancangan bagi musim depan Red Giants masih belum bermula.

“Bajet pasukan belum diputuskan, kedua-dua pihak masih senyap. Masing-masing tunggu siapa yang mahu mulakan dulu perbincangan. Apa yang membimbangkan ada pemain utama sedia angkat kaki jika individu tertentu itu masih bersama pasukan tahun depan,” katanya yang mendedahkan wujudnya dua kem dalam FAS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:06 AM