Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang lelaki kritikal selepas ditikam teman lelaki rakan serumahnya di kondominium di Jalan Usahawan, Setapak, kira-kira 12 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif, berkata berdasarkan keterangan pengawal keselamatan kondominium itu, dia menerima panggilan daripada jiran mangsa yang memaklumkan ada pergaduhan.

Katanya, apabila pengawal keselamatan tiba di depan rumah mangsa, dia mendapati sekumpulan lelaki berdiri di depan rumah itu.

“Apabila pengadu mengetuk pintu rumah mangsa, dia membuka pintu dan ketika itu berlaku pertengkaran antara mangsa dan kumpulan lelaki yang dipercayai dibawa seorang wanita yang juga menyewa di premis sama dengan mangsa.

"Ketika itu, lelaki dalam kumpulan itu tiba-tiba menikam mangsa dan kemudian semua melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa parah di hadapan badan dan berada kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 9:07 PM