ANGGOTA polis melakukan siasatan di sebuah bank yang dirompak dua lelaki di Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Teoh Pei Ying
ANGGOTA polis melakukan siasatan di sebuah bank yang dirompak dua lelaki di Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Teoh Pei Ying
Teoh Pei Ying


DUA lelaki bersenjata hanya mengambil masa kira-kira 24 saat untuk melarikan wang tunai RM17,500 ketika merompak sebuah bank di Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, dua suspek yang menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan bank terbabit sebelum salah seorang yang membawa senjata kelihatan seperti pistol meluru masuk ke dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata ketika kejadian terdapat tujuh pekerja serta dua pelanggan dan pengawal keselamatan di dalam bangunan bank.

“Suspek yang meluru ke dalam bank sambil mengacukan senjata kelihatan seperti pistol sebelum menjerit ‘jangan bergerak’ kepada semua yang berada di dalam bank terbabit.

“Dia kemudian meluru ke kaunter bank dan mengambil wang tunai di dalam laci kaunter terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, rompakan berlaku dalam tempoh 24 saat sebelum suspek bersama rakannya yang menunggu melarikan diri dengan menaiki motosikal ke arah ibu negara.

Menurutnya, kedua-dua suspek memakai topi keledar dan penutup muka (mask) ketika melakukan rompakan itu.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian terdapat pengawal keselamatan warga Nepal yang tidak bersenjata berada di pintu hadapan manakala rakan setugasnya, seorang lelaki tempatan dan bersenjatakan ‘pump gun’ berada di belakang.

“Kedua-dua pengawal keselamatan bank terbabit dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun sama kerana melakukan samun berkawan dan samun bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 8:53 PM