PEMAIN Bournemouth, King (tiga dari kanan) menjaringkan gol kemenangan pada lewat perlawanan semalam.
PEMAIN Bournemouth, King (tiga dari kanan) menjaringkan gol kemenangan pada lewat perlawanan semalam.
AFP

Bournemouth, England: Louis van Gaal mengaku Manchester United perlu bangkit serta-merta berikutan kekalahan di Bournemouth jika mereka mahu mengekalkan peluang untuk mencabar gelaran liga musim ini.

Kekalahan 1-2 awal pagi semalam menyebabkan skuad kendalian Van Gaal berada di kedudukan keempat dan tidak mencapai sebarang kemenangan sepanjang lima perlawanan terakhir termasuk kekecewaan di Wolfsburg yang menamatkan perjuangan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara.

Selepas ini, mereka akan melayan kunjungan Norwich City di Old Trafford sebelum bertandang ke Stoke City dan bertemu Chelsea menjelang akhir bulan ini.

Van Gaal yang semakin tertekan sejak kebelakangan ini sedar pasukannya perlu menang semua tiga perlawanan itu untuk terus berada di kelompok teratas liga sebelum tahun baru.

“Kami kini mungkin menghuni tangga keempat atau kelima dan saya rasa kami masih ada pilihan untuk mencabar gelaran musim ini tapi ketika ini kami berada dalam kedudukan sukar,” kata pengendali Belanda itu.

“Kerana kecederaan, kami terpaksa menurunkan ramai pemain muda tapi saya akui pemain muda kami bermain dengan baik terutamanya Cameron Borthwick-Jackson.

“Tapi kami perlu bangkit, biasanya sukar kerana anda tewas dua perlawanan berturut-turut dan ia bukan selalu berlaku kepada Manchester United.

“Sudah tentu saya ambil serius perkara itu kerana kami tewas dua perlawanan berturut-turut dan ia bukan biasa berlaku. Justeru, kami perlu terus bersatu dan bersedia untuk menentang Norwich. Anda perlu menang kerana jika tidak, ia akan bertambah sukar.”

Junior Stanislas meletakkan Bournemouth di depan pada minit kedua dan Joshua King memastikan kemenangan pada awal babak kedua selepas Marouane Fellaini menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 5:05 AM