London: Pertahanan Phil Jones menegaskan Louis van Gaal “melakukan tugas hebat” dan suasana di Manchester United tidak seburuk ketika di bawah kendalian David Moyes.

Suasana muram menyelubungi Old Trafford selepas permulaan tidak menentu selain kritikan teruk terhadap persembahan pasukan dan pengurus Van Gaal.

Kekalahan 1-2 United di tangan Norwich pada aksi Liga Perdana Sabtu lalu adalah kekalahan ketiga berturut-turut yang menyaksikan mereka turut tersingkir daripada Liga Juara-Juara.

Van Gaal amat tertekan dan peminat jelas kecewa namun Jones mendakwa suasana lebih teruk ketika Moyes mengendalikan pasukan dua tahun lalu.

“Ia bukannya saat terburuk. Saya fikir ia lebih suram di bawah David Moyes dan ia sesuatu yang malang. Kami tidak bermain bagus ketika itu.

“Tapi tiada gunanya menyatakan kami bermain baik musim ini kerana jelas kami kalah tiga perlawanan berturut-turut tapi kami sedar mampu membaikinya. Kami perlu bersatu, tiada apa lagi yang boleh dilakukan.”

United, yang tidak menang dalam enam perlawanan bagi semua pertandingan, merudum ke tangga kelima Liga Perdana dan Jose Mourinho, yang meninggalkan Chelsea minggu lalu, dikaitkan dengan jawatan dipegang Van Gaal.

Namun Jones menegaskan pemain menyokong pengendali Belanda itu untuk mengubah keadaan dan turut berazam memberikan yang terbaik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:12 AM