Keadaan dinding sebuah rumah yang disimbah cat oleh seorang lelaki yang bekerja dengan sindiket pinjaman wang haram di Taman Mesra, Butterworth. FOTO IHSAN PDRM
Keadaan dinding sebuah rumah yang disimbah cat oleh seorang lelaki yang bekerja dengan sindiket pinjaman wang haram di Taman Mesra, Butterworth. FOTO IHSAN PDRM
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: 'Utang (hutang) wang, bayar wang ini, peringatan pertama.' Itu catatan nota diterima seorang wanita selepas kediamannya di Taman Mesra, di sini, disimbah cat berwarna merah, kelmarin.

Perbuatan itu dilakukan seorang lelaki yang bekerja dengan along untuk menakutkan individu yang melakukan pinjaman wang, bagaimanapun wanita terbabit tidak pernah membuat pinjaman dengan ceti haram itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada wanita itu memaklumkan dinding rumahnya disimbah cat merah, selain terdapat satu nota kecil yang ditinggalkan.

"Wanita itu menyedari dinding luar rumahnya disimbah cat pada 8.30 pagi (kelmarin) ketika keluar dari kediamannya.

"Mangsa terkejut dengan kejadian itu dan turut menemui satu nota kecil yang dilekatkan pada dinding tertera nama seorang perempuan, bagaimanapun mangsa tidak pernah meminjam wang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui laporan diterima, pihaknya berjaya menjejaki lelaki berusia 25 tahun yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu dan menahannya.

"Siasatan mendapati suspek yang bergerak solo itu mengaku bekerja dengan sindiket along dengan mengambil upah membaling cat serta meletakkan nota amaran pada rumah dan kedai peminjam yang gagal melunaskan hutang.

"Dia akan memperoleh upah selepas melakukan kegiatan itu dengan semua maklumat peminjam diberikan melalui aplikasi WhatsApp oleh sindiket," katanya.

Katanya, suspek juga mengaku terbabit lima kes di daerah ini dan satu kes di daerah Seberang Perai Selatan.

"Suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:59 PM