Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Forest City diumumkan sebagai Zon Khas Kewangan bagi meningkatkan pelaburan asing, sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi kawasan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, zon khas berkenaan diwujudkan berikutan keistimewaan negeri ini yang berjiran dengan Singapura di samping infrastruktur lengkap yang ada di Forest City.

Katanya, beliau melihat kepentingan buat Johor saling melengkapi dengan Singapura berbanding untuk bersaing.

"Kita harus mampu saling melengkapi apatah lagi Singapura pernah ada sejarah dengan kita.

"Johor mempunyai tanah yang luas selain keupayaan dari segi tenaga kerja, oleh itu ia perlu dimanfaatkan bagi menjana peluang pekerjaan dan jana industri.

"Selepas meneliti perkara ini serta mendapatkan pandangan, saya bersetuju untuk mengumumkan status Forest City untuk diwujudkan Zon Khas Kewangan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Johor dan majlis dialog bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Zon Khas Kewangan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa insentif menarik akan ditambah khusus di Forest City berbanding insentif sedia ada.

Katanya, antara insentif tambahan termasuk kadar cukai pendapatan khas 15 peratus bagi pekerja berkemahiran di Forest City, visa beberapa kali masuk (Multiple Entry Visa), selain laluan pantas Imigresen antara zon khas itu dan Singapura.

Beliau juga mahu pelaksanaannya disegerakan dalam tempoh terdekat dengan Jabatan Imigresen sudah dimaklum mengenai permit Multiple Entry Visa.

"Saya yakin dan percaya jika inisiatif zon khas ini dapat diberi penerangan meluas di Johor dan Singapura, ia dapat menarik ramai pelabur untuk guna kemudahan di Forest City, apatah lagi tarikan istimewa di situ membabitkan perubatan, pendidikan dan pelancongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:51 PM