Abu Bakar (tiga dari kiri) menerima Kotak Rezeki HM yang disampaikan Mohd Sabran. FOTO Hairul Anuar Rahim
Abu Bakar (tiga dari kiri) menerima Kotak Rezeki HM yang disampaikan Mohd Sabran. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


SEBANYAK 50 #HMKotakRezeki mengandungi pelbagai juadah berbuka puasa diagihkan kepada anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor yang bertugas mengawasi kedaulatan sempadan negara di perairan Pulau Pisang, semalam.

Penyerahan #HMKotakRezeki itu disampaikan wartawan Harian Metro, Mohd Sabran Md Sani kepada Pengarah APMM Johor, Datuk Abu Bakar Idris pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Pulau Pisang.

Abu Bakar berkata, pihaknya menghargai sumbangan #HMKotakRezeki bagi memudahkan anggota bertugas menjaga perairan negeri ini berbuka puasa di tengah laut.

"Setiap hari tugas mengawasi perairan negara dilakukan anggota dan pegawai kami membabitkan kapal KM Satria, Bot Petir 85 dan Bot Kilat 12 secara rondaan berjadual dan mengejut.

"Kita berharap sumbangan ini sekurang-kurangnya memudahkan penugasan pasukan Maritim Malaysia yang kini giat melaksanakan Op Pagar Laut Siri 1/2018," katanya.

Terdahulu Abu Bakar menyampaikan sumbangan #HMKotakRezeki kepada Pegawai Memerintah Kapal KM Satria, Leftenan Komander Haw Vui Fung; Ketua Bot Petir 85, Bintara Kanan Norshamsiri Ahmad dan Ketua Bot Kilat 12, Bintara Kanan, S Mahesvaran.

Menurutnya, Maritim Malaysia menghargai sumbangan #HMKotakRezeki kerana ia secara tidak langsung menghargai khidmat anggotanya yang menjalankan tugas mengawal sempadan dan mencegah kejadian tidak diingini.

"Secara tidak langsung #HMKotakRezeki akan membakar semangat anggota kami melaksanakan tanggungjawab.

"Pada masa sama, kita lihat sumbangan ini sebagai penghargaan Harian Metro kepada Maritim Malaysia yang sentiasa memastikan perairan kita dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 2:10 PM