MOHAMMAD Shafiq menerima sijil penghargaan dan wang sumbangan RM1,000 daripada Malaysia Airports. FOTO Malaysia Airports
MOHAMMAD Shafiq menerima sijil penghargaan dan wang sumbangan RM1,000 daripada Malaysia Airports. FOTO Malaysia Airports
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Airports merakamkan penghargaan kepada anggota Aviation Security (AVSEC) Koperal Mohammad Shafiq Safi'ai atas tindakan berani dan pantas beliau dalam insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Malaysia Airports memaklumkan tindakan Mohammad Shafiq sangat membanggakan dan beliau telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab demi menjamin keselamatan pengunjung.

"Shafiq memberi amaran keras dengan mengacukan senjata miliknya terhadap suspek yang melepaskan dua das tembakan. Suspek kemudiannya terus melarikan diri dari tempat kejadian," menurut catatan itu.

Turut dimuat naik dalam catatan itu gambar Mohammad Shafiq menerima sijil penghargaan dan wang sumbangan RM1,000 daripada Malaysia Airports.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 itu, seorang suspek lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:31 PM