Rosyahaida Abdullah


MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah mengambil tindakan disiplin terhadap anggota Aviation Security (AVSEC) yang didakwa menengking penyanyi, Nourul Wahab Depp di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MAHB berkata, sebaik dimaklumkan berhubung insiden itu, siasatan segera dibuat dan pihaknya mengesahkan kejadian terbabit sememangnya berlaku sebagai mana dilaporkan.

"Susulan kejadian pengguna lapangan terbang kami, Noorul Huda Abdul Wahab (Nourul Wahab Depp) dilaporkan menerima layanan yang tidak sepatutnya sewaktu memasuki bangunan terminal KLIA untuk menghantar keluarganya pulang pada minggu lalu. MAHB sudah mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan terbabit.

"MAHB sama sekali tidak dapat menerima perlakuan biadap yang dilakukan mana-mana kakitangan. Dalam hal ini, kami ingin menyampaikan permohonan maaf kepada Nourul dan keluarganya atas insiden yang berlaku," katanya.

Menurut MAHB, pihaknya komited memberikan pengalaman mesra kepada semua tetamunya dan tidak akan bertoleransi dengan sebarang pelanggaran budaya perkhidmatan meskipun ketika melaksanakan prosedur operasi standard.

"Di Malaysia Airports, tetamu adalah keutamaan kami. Kami mengalu-alukan sebarang maklum balas berhubung pengalaman anda di lapangan terbang, maklumkan kepada kami dengan menulis ke [email protected] atau menerusi platform sosial media kami.

"Jika anda memerlukan sebarang bantuan di terminal, kami juga amat mengalu-alukan anda untuk berjumpa dengan duta mesra lapangan terbang kami yang memakai selempang 'May I Help'.

"Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua penumpang supaya merujuk kepada laman web kami bagi sebarang pertanyaan berhubung normal baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan," katanya.

Sabtu lalu, Nourul, 43, meluahkan kekecewaannya di akaun Instagram beliau atas layanan anggota keselamatan terbabit yang dianggap biadap sewaktu menghantar ibu dan bapa mentuanya pulang di KLIA.

Penyanyi berusia 43 itu dilaporkan terkilan apabila anggota beruniform terbabit dikatakan mengeluarkan bahasa tidak sopan sedangkan mereka tidak berbuat salah malah patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) di situ.

Berita berkaitan:

  • Boleh tegas, tapi jangan kurang ajar!
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 1:08 PM