Seorang tukang cuci di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta menemui dompet berisi cek bernilai 35.5 bilion rupiah (RM10.4 juta). FOTO AGENSI
Seorang tukang cuci di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta menemui dompet berisi cek bernilai 35.5 bilion rupiah (RM10.4 juta). FOTO AGENSI
Agensi

Jakarta: Seorang tukang cuci di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di sini, menemukan dompet berisi cek bernilai 35.5 bilion rupiah (RM10.4 juta).

Lapor Kompas, petugas bernama Halimah, 36, menemui dompet itu ketika melakukan kerja pembersihan.

Wanita itu menemui dompet warna coklat yang didakwa milik seorang penumpang di Balai Pelepasan Terminal 2E di lapangan terbang itu.

Penyelia petugas pembersihan kemudiannya melaporkan penemuan itu kepada pegawai Keselamatan Penerbangan (Avsec) yang bertugas ketika itu.

Dompet itu kemudiannya diserahkan tanpa mengetahui jumlah wang yang berada di dalamnya.

Selepas pegawai Avsec melakukan pemeriksaan, mereka mendapati terdapat empat buku bank, sebuah pasport dan dua cek itu.

"Besar atau kecil nilai barang yang ditemui, ia bukan milik kami. Sudah jadi kewajipan bagi petugas di lapangan terbang melaporkannya," kata Halimah.

Kejujuran Halimah itu mendapat penghargaan dari PT Angkasa Pura Solusi yang menghargai kejujurannya.

Pemilik dompet itu menghubungi pusat panggilan lapangan terbang bagi menuntut barang hilang itu.

Sementara itu, Detiknews melaporkan, Halimah mengakui terkejut sebaik menemui dompet di kerusi menunggu penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 6:01 AM