POH Sian (dua kiri) menunjukkan matawang Malaysia yang berjaya dirampas untuk diseludup keluar oleh warga China ke Thailand. FOTO Ihsan JKDM
POH Sian (dua kiri) menunjukkan matawang Malaysia yang berjaya dirampas untuk diseludup keluar oleh warga China ke Thailand. FOTO Ihsan JKDM
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah (Unit III) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup keluar wang tunai berjumlah RM170,000 pada 27 Januari lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, pada jam 10 pagi Pegawai Cawangan Pemeriksaan JKDM dengan bantuan Aviation Security (AVSEC) Malaysia Airports Berhad menahan seorang penumpang warga China di balai berlepas KLIA yang ingin berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok, Thailand.

Menurutnya, hasil pengimbasan ke atas beg galas yang dibawa penumpang itu mendapati terdapat dagangan yang disyaki sejumlah wang tunai.

Katanya, pemeriksaan lanjut menjumpai wang tunai dengan nota RM100 sebanyak 1,700 helai dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM170,000.

"Penumpang itu didapati tiada dan gagal membuat pengikraran dalam Borang Kastam No. 7 serta gagal mengemukakan permit kebenaran dari Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Poh Sian berkata, kes penyeludupan matawang Ringgit Malaysia ini pertama kali berlaku membabitkan penumpang antarabangsa melalui balai berlepas KLIA.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan membawa wang tunai secara 'handcarry'di dalam beg galas tanpa membuat pengikraran.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B AktaPencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA 2001) yang mana jika disabitkan kesalahan suspek boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:47 PM