LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mengesahkan longgokan beras yang dibuang di kawasan pembuangan sampah dekat Temerloh, Pahang seperti tular semalam, sudah rosak dan tidak selamat untuk dimakan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, perkara itu berdasarkan penemuan awal oleh KPB Cawangan Temerloh yang menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.

"KPKM memandang serius isu tular yang berlaku dan mengambil langkah segera menjalankan siasatan melalui KPB Cawangan Temerloh yang turut dihadiri Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

"Berdasarkan penemuan awal, KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa beras terbabit sudah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Semalam, tular di media sosial gambar puluhan kampit, beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.

Difahamkan, gambar itu mula tular selepas dimuat naik oleh pengguna media sosial Facebook dan Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Justeru, KPKM menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu terbabit memandangkan ia masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 (Akta 522).

"Untuk makluman semua pihak, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah merujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras, KPKM.

"Sebarang maklumat lanjut atau aduan berhubung isu ini, sila kemukakan aduan secara rasmi di https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau [email protected] selain di talian 03-88701751/1748/1183," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 3:46 PM