Ab Rauf Yusoh (tengah) disambut mesra sejurus tiba pada majlis Pecah Tanah FE Green PET (M) Sdn Bhd di Hicom Pegoh Industrial Park, hari ini. FOTO BERNAMA
Ab Rauf Yusoh (tengah) disambut mesra sejurus tiba pada majlis Pecah Tanah FE Green PET (M) Sdn Bhd di Hicom Pegoh Industrial Park, hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Walaupun malam tadi saya bersama-sama dengan beliau dalam siri lawatan kerja ke panggung bangsawan, saya tidak nampak sebarang 'isyarat' pemergian beliau pada hari ini," kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkaitan pemergian Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka Datuk Wira Zaidi Johari.

Beliau berkata, berita pemergian itu amat mengejutkan apatah lagi Allahyarham disifatkan seorang penjawat awam yang cemerlang dan berdedikasi.

"Apabila menerima berita pemergian Allahyarham awal pagi tadi, kita memang amat terkejut...pemergian seorang pejabat awam yang baik berkhidmat bersama dengan saya, seorang yang berdedikasi yang merencanakan segala dasar yang dibuat oleh kerajaan kepada kakitangan awam.

"Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana pemergiannya amat tenang," katanya kepada media di perkarangan Masjid Al-Azim, di sini.

Terdahulu, Ab Rauf mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dan kira-kira 500 hadirin menunaikan solat jenazah jam 10.59 pagi yang dipimpin Imam 1 Masjid Al Azim Datuk Muhammad Hashim al Hafiz.

Ab Rauf berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri dan EXCO merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Saya juga melahirkan rasa dukacita bersama keluarga. Insya-Allah, moga Allah SWT menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang salih," katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Terdahulu, Zaidi, 54, dikatakan mengalami serangan jantung ketika berada di kediaman rasminya di Bukit Peringgit, di sini, pagi tadi sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.

Zaidi disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka, jam 8.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:49 PM