Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pemergian Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) APM Melaka, Harmiza Haron berkata, mendiang mengutamakan tugas di agensi itu selain sangat mudah berurusan dengannya.

Menurutnya, mendiang juga seorang pegawai kanan yang berdedikasi dan prihatin terhadap pegawai dan anggotanya.

"Saya sedang berkursus di PULAPAS (Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan), bila dapat tahu beliau rebah di pejabat, saya tidak dapat fokus.

"Pemergiannya satu kehilangan besar kepada jabatan kerana sikapnya yang komited bab kerja. Mendiang tidak pernah mengambil cuti dan sangat-sangat meletakkan dirinya dalam jabatan," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Harmiza berkata, sebagai antara individu kerap berurusan bersama, beliau menyedari mendiang mengalami perubahan fizikal apabila berat badannya turun mendadak selepas Hari Raya Aidilfitri, lalu.

HARMIZA menyifatkan mendiang  Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra seorang yang komited terhadap kerja. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
HARMIZA menyifatkan mendiang Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra seorang yang komited terhadap kerja. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Menurutnya, mendiang juga mengadu sakit dada sebelum mereka menyarankannya untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

"Selepas raya memang nampak perubahan fizikal dan dia ada mengadu sakit dada, jadi kami sarankan pergi buat pemeriksaan di hospital.

"Mendiang memang ada pergi ke klinik kesihatan tetapi tidak memberitahu butiran penyakit dialaminya selain dia juga kerap batuk," katanya.

Sementara itu, Pegawai Waran I (PA) Zolkipli Isnin turut mengakui mendiang sangat kuat bekerja dan menjaga kebajikan pegawai serta anggotanya.

"Pemergiannya satu kejutan kepada kami. Antara sikapnya yang terkesan di hati saya, apabila sering bertanya khabar mengenai keluarga serta anggota," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Cuthbert, 47, meninggal dunia di Hospital Melaka, kira-kira 10 pagi hari ini selepas dilaporkan rebah di pejabat APM Melaka di Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 6:56 PM