Fadhlina Sidek berbual bersama kanak-kanak yang mengikuti Program Outreach SBJK ketika melawat SJBK di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, malam ini.  FOTO MOHD ADAM ARININ
Fadhlina Sidek berbual bersama kanak-kanak yang mengikuti Program Outreach SBJK ketika melawat SJBK di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak warganegara Malaysia yang mempunyai masalah dokumentasi menerusi program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata program terbabit adalah inisiatif pihaknya supaya kanak-kanak warganegara yang mempunyai masalah dokumen mendapat pendidikan asas setara dengan kanak-kanak lain dalam arus perdana.

"Kita harap program ini terus dapat dikembangkan dan mendapat sokongan. Kita juga sedang melihat keperluan guru ketika ini bagi menambah baik program ini dari semasa ke semasa.

"Antara kriteria murid yang menyertai program ini adalah bapa atau ibu kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia tetapi tidak mempunyai dokumen," katanya.

Selain itu, beliau berkata murid dibawah program itu akan belajar berpandukan modul.

"Setakat ini, mereka akan belajar secara modul disebabkan tidak pernah bersekolah, jadi mungkin ada sedikit masalah mengikuti pendidikan arus perdana.

"Guru kita berkemahiran tinggi yang dilatih menggunakan modul ini untuk pembelajaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Outreach Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) bertempat di SK Sembulan, di sini, malam ini.

Disamping itu, Fadhlina turut memberitahu sekiranya murid dibawah program SBJK mampu melepasi tahap tertentu untuk masuk pendidikan arus perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:12 PM