Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah ketika hadir di sekatan jalan raya (SJR) melalui Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2024  bermula 1 sehingga 20 April di hadapan  Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah ketika hadir di sekatan jalan raya (SJR) melalui Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2024 bermula 1 sehingga 20 April di hadapan Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Dua pemandu bas ekspres positif dadah Methamphetamine antara yang ditahan melalui Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2024 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan bermula 1 sehingga 20 April.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 40-an diarahkan menjalani pemeriksaan air kencing ketika operasi dijalankan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, pada 4 April lalu.

Katanya, mereka adalah pemandu utama bagi dua syarikat bas ekspres berbeza yang mana pada hari kejadian dijadualkan membawa penumpang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

"Penahanan pemandu bas berkenaan turut dibantu anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut terbabit dalam operasi terbabit.

"Hasil soal siasat, mereka mendakwa mengambil barangan terlarang ini untuk mengelak daripada rasa mengantuk ketika memandu. Apa yang dilakukan jelas menyalahi undang-undang selain membahayakan banyak nyawa penumpang di dalam bas terbabit.

"Saya juga difahamkan kes ini adalah penahanan terbaru membabitkan pemandu bas dibawah pengaruh dadah selepas dua tahun operasi sama dijalankan pada setiap tahun," katanya dalam sidang media selepas menyertai Sekatan Jalan Raya (SJR) di hadapanAkademi JPJ Wilayah Timur, di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, selain pemeriksaan di terminal bas, pihaknya juga menjalankan operasi di lima depoh utama negeri itu, iaitu depoh Mutiara Ekspres, Perdana Ekspres, Queens Ekspres, Naza Ekspres dan Tranasional Ekspres

Beliau turut berkongsi berkongsi statistik pengeluaran notis sepanjang Ops HRA 2024 bermula 1 April sehingga semalam, iaitu sebanyak 17,017 notis membabitkan saman JPJ, Notis Arah Periksa, permintaan butir pemandu, Notis Temusiasat, Notis Sita, PG 1 dan NotisArah Timbang.

"Notis yang tertinggi dikeluarkan membabitkan saman JPS iaitu sebanyak 9,122 notis diikuti dengan Notis Temusiasat berjumlah 6,833.

"Operasi kali ini memfokuskan kepada kesalahan motosikal, kenderaan perkhidmatan awam, kenderaan perkhidmatan barangan, Operasi Sembilan Kesalahan (9 Big Sin) dan teknikal," katanya.

Menurutnya, operasi kali ini bertemakan slogan 'Pandu Cermat dan Selamat Sampai ke Destinasi' selain turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk PDRM, AADK, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:22 PM