LOKMAN ketika sidang media di Terminal Bersepadu Selatan. FOTO Sadiq Sani
LOKMAN ketika sidang media di Terminal Bersepadu Selatan. FOTO Sadiq Sani
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 42 bas ekspres dilarang berada di jalan raya selepas didapati tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, ia sebahagian daripada 77 bas ekspres yang diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Op Hari Raya Aidilfitri (HRA).

"Dalam operasi bermula 1 April sehingga semalam, sebanyak 3,799 bas diperiksa di 54 depoh dan 28 terminal.

"Hasil pemeriksaan itu, 47 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen vokasional (PSV) dan lesen memandu kompeten (CDL), kesalahan tatakelakuan dan sebagainya.

"Selain itu, sebanyak 42 bas dikeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) berikutan pelanggaran peraturan teknikal yang ditetapkan," katanya dalam sidang media selepas menjalankan pemeriksaan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini.

Turut sama Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Dr Azmi Awang; Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JPJ, Norazlan Ibrahim dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, operasi dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 244 pemandu bas dan enam daripadanya didapati positif dadah termasuk seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu masing-masing dua di Sarawak dan Kedah manakala masing-masing seorang di Kelantan serta Perak.

"Bagi tindakan selanjutnya, JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas berkenaan dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715).

"JPJ juga akan menggantung lesen pemandu terbabit mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selepas pengesahan lanjutan diperoleh daripada AADK," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi penyamaran oleh pegawai JPJ merekodkan 62 kes diambil tindakan kerana pelbagai kesalahan tatakelakuan antaranya tiada pemandu kedua dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Katanya, tindakan penyamaran itu akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penumpang dan pemandu mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau turut menyeru orang ramai terutama penumpang bas supaya menjadi mata dan telinga JPJ dengan melaporkan segera sebarang tindakan merbahaya dan melanggar peraturan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 6:52 PM