Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA pemandu bas ekspres dikenakan saman selepas didapati melakukan kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan.

Kesalahan itu dikesan dan berjaya dirakam oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur yang membuat penyamaran sebagai penumpang bagi ketiga-tiga bas terbabit dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Bas Ekspres, semalam.

Tindakan itu dilakukan ketika ketiga-tiga bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala ke Pantai Timur sebelum kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Plaza Tol Gombak, di Gombak.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, pihaknya mengarahkan enam anggota untuk membuat penyamaran sebagai penumpang di tiga bas terbabit.

"Hasil penyamaran dilakukan, mereka berjaya merakam tindakan pemandu bas yang menyalahi undang-undang dengan menggunakan lorong kanan secara berterusan.

"Adalah menjadi satu kesalahan bagi kenderaan itu (bas) dipandu menggunakan lorong kanan dan mereka (pemandu) sedar mengenai peraturan itu, namun tidak mematuhinya," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu di Plaza Tol Gombak, di Gombak, semalam.

OPERASI Khas Penguatkuasaan Bas Ekspress oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Gombak. FOTO Mustaffa Kamal
OPERASI Khas Penguatkuasaan Bas Ekspress oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Gombak. FOTO Mustaffa Kamal

Seramai 56 pegawai dan anggota dari JPJ Kuala Lumpur, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terbabit dalam operasi itu yang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Mohd Zaki berkata, kira-kira 100 kenderaan dengan sebahagian besar membabitkan bas ekspres selain kenderaan lain seperti van diperiksa dalam operasi itu.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 21 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk memandu di lorong kanan (bas), lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh, cermin gelap dan lain-lain.

"Selain itu, lima lelaki warga asing yang juga penumpang bas turut ditahan pihak JIM kerana didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Pihak AADK juga menahan tiga penumpang lelaki berusia lingkungan 30-an selepas didapati positif dadah jenis methaphetamin," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi penyamaran sebagai penumpang bas pada musim perayaan Aidiladha nanti dalam usaha memastikan pemandu dan pihak syarikat bas mematuhi peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 9:39 AM