JAUTEH, gambar fail. FOTO NSTP
JAUTEH, gambar fail. FOTO NSTP
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Siasatan polis mendapati senjata api yang menyebabkan kematian anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Sabah, kelmarin disimpan di dalam almari berkunci.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan polis berkait kes ini dijalankan daripada dua sudut siasatan iaitu kecuaian penyimpanan dan kecuaian penggunaan senjata api terbabit.

Bagaimanapun, katanya dalam aspek kecuaian penggunaan senjata api dalam siasatan kes ini tidak dapat ditekankan kerana kejadian bukan dilakukan oleh pemilik senjata api yang berkelayakan.

"Siasatan juga menjurus kepada kecuaian penyimpanan senjata api berkenaan, namun buat masa ini tidak timbul isu kecuaian daripada aspek itu.

"Ini kerana siasatan mendapati senjata itu disimpan di dalam almari yang berkunci dalam bilik utama kediaman itu.

"Mangsa anak bongsu dan biasa dengan bilik itu, belum pasti bagaimana dia boleh membuka almari berkenan, mungkin ada terjumpa kunci. Perkara itu masih dalam siasatan," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, katanya pistol jenis Walther P99 itu yang dirampas selepas kejadian itu adalah pistol pasukan yang dibekalkan kepada KPD Lahad Datu dan bukan pistol peribadi.

Kelmarin, anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa berusia 14 tahun itu ditemui oleh kakaknya yang berusia 16 tahun dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik di dalam rumah mereka, pada 12.42 tengah hari.

Difahamkan, ketika kejadian, bapa mangsa berada di Kinabatangan, Sabah, atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat sebagai KPD Lahad Datu.

Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Lahad Datu, semalam merumuskan kematian remaja berusia 14 tahun itu berpunca daripada satu das tembakan yang terkena di bahagian dada.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais, dilaporkan berkata siasatan mendapati hanya satu das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan tembakan berkenaan terkena pada bahagian dada kanan mangsa.

Katanya, terdapat luka tembak pada dada kanan yang mengenai organ paru-paru dan tembus di bahagian belakang badan.

"Hasil bedah siasat merumuskan kematian mangsa adalah disebabkan luka tembakan pada bahagian dada," katanya.

Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:16 PM