GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Polis sudah merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 yang dikaitkan dalam kes kematian anak Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Sabah semalam, untuk siasatan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais berkata, tiada tangkapan dibuat dan siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, kes diklasifikaskan sebagai kematian mengejut (SDR) dengan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Tiada tangkapan setakat ini disebabkan tiada unsur jenayah membabitkan orang lain dalam kes ini," katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata, pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat berhubung punca sebenar kematian mangsa kerana proses itu masih dijalankan.

Shahurinain berkata, tiga saksi sudah memberi keterangan untuk membantu siasatan polis namun enggan mendedahkan identiti mereka.

Terdahulu, anak perempuan KPD Lahad Datu maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.

Mangsa berusia 14 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnya, pada 12.42 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:28 PM