Jauteh Dikun ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang di Dewan SMK Pangalat, di sini hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Jauteh Dikun ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang di Dewan SMK Pangalat, di sini hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yun Mikail

Papar: Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu yang maut tertembak menggunakan pistol milik bapanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kini dijalankan ke atas KPD berkenaan berikutan pistol yang dikaitkan dalam kes terbabit adalah di bawah pemilikannya.

"Secara keseluruhannya, belum ada keputusan menyeluruh tentang kes ini.

"Namun siasatan dibuat ke atas KPD Lahad Datu kerana beliau yang memiliki pistol terbabit.

"Jika ditanya tentang wujudnya sebarang unsur kecuaian dan tindakan tatatertib yang diambil, perkara itu juga masih dalam siasatan," katanya.

Jauteh berkata demikian ketika ditemui media ketika menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang di sini, hari ini.

Terdahulu, anak perempuan KPD Lahad Datu maut tertembak dipercayai menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu pada 16 April lalu.

Mangsa yang berusia 14 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnya pada 12.42 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:16 PM