FAHMI, gambar fail. FOTO Bernama
FAHMI, gambar fail. FOTO Bernama
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.

"Jemaah Menteri membuat keputusan tidak akan melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD Link yang memohon lanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat. Kerajaan menolak permohonan itu.

"Sebelum ini pihak syarikat sudah memohon dua kali lanjutan bagi memenuhi syarat ditetapkan. Akibat daripada kegagalan itu, maka projek terbabit tidak diteruskan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berdasarkan perancangan, lebuh raya terbabit akan menghubungkan bahagian utara dan selatan petaling Jaya menerusi Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato' Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

Bagaimanapun, pembinaan projek itu mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

Malah, kerajaan Selangor pada tahun lalu, membuat keputusan membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya terbabit, berikutan pelan dikemukakan berkaitan laporan penilaian impak didapati tidak menepati syarat ditetapkan.

Namun pada 24 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan meminta pemaju lebuh raya terbabit merundingkan semula jajarannya dengan kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memberikan perincian penuh berhubung keputusan yang diambil Jemaah Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:14 PM