Shah Alam: Kidex Sdn Bhd (KSB) syarikat yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung pembatalan projek berkenaan seperti yang diumumkan kerajaan Selangor semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nor Idrus berkata, Kerajaan Persekutuan adalah salah satu pihak dalam perjanjian bersama (CA) pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang membatalkan pembinaan lebuh raya berkenaan, kami menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana ketika perjanjian pada November 2013 Kerajaan Persekutuan adalah pihak yang terbabit ketika menandatangani pembinaan projek KIDEX sejauh 14.9 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, mengenai pembabitan dengan kerajaan negeri, pihaknya akan meneruskannya seperti biasa.

“Dalam pada itu kami berharap syarat lanjutan perjanjian konsesi itu (sebagaimana yang ditakrifkan dalam CA) dilanjutkan bagi tempoh sembilan bulan bermula dari 15 Februari 2015 dan tamat pada 14 November tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 7:35 AM