Datuk Seri Amirudin Shari
Datuk Seri Amirudin Shari
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri memutuskan pembatalan permohonan pembinaan lebuh raya dikenali sebagai 'Petaling Jaya Dispersal Link' (PJD-Link) di kawasan Bandaraya Petaling Jaya.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembatalan itu dibuat memandangkan pelan yang dikemukakan tidak menepati syarat.

"Kerajaan negeri sudah meneliti beberapa aspek berhubung cadangan pembinaan yang mana pada awalnya, ia mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2017.

"Cadangan ini kemudian dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan membabitkan penduduk di Petaling Jaya.

"Seterusnya, cadangan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri," katanya pada kenyataan, hari ini.

Susulan itu, kata beliau, perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan ditandatangani pada 5 April 2022 dengan syarat, syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh kajian 'Environmental Impact Assessment' (EIA), kajian 'Social Impact Assessment' (SIA) dan kajian 'Traffic Impact Assessment' (TIA) sebelum perjanjian terbabit diaktifkan.

"Sehubungan itu, prinsip pentadbiran ini adalah supaya pembangunan di Selangor mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi negeri, serta tidak membawa kemudaratan kepada rakyat Selangor.

"Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya daripada segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuhraya PJD-Link," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 2:26 PM