LEBUHRAYA NKVE berhampiran susur keluar Tol Damansara antara yang terbabit dalam projek pembinaan KIDEX.
LEBUHRAYA NKVE berhampiran susur keluar Tol Damansara antara yang terbabit dalam projek pembinaan KIDEX.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Naqiukamil Abdullah

Shah Alam: Kegagalan mematuhi tiga syarat seperti ditetapkan menjadi asas utama kepada kerajaan Selangor membatalkan cadangan membina Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, syarikat konsesi iaitu KIDEX Sdn Bhd diberi tempoh sehingga 14 Februari lalu untuk memenuhi syarat berkenaan, namun tidak mematuhinya sehingga masanya tamat.

Katanya, syarat berkenaan adalah menyediakan Penilaian Impak Lalu lintas yang bebas, Penilaian Impak Sosial serta Penilaian Impak Alam Sekitar dan kajian itu perlu membuktikan manfaat yang berpihak kepada pengguna serta penduduk kawasan terbabit.

“Selain itu, syarikat konsesi perlu mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberikan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan.

“Mereka juga perlu mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang menegaskan ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek supaya membawa manfaat menyeluruh.

Katanya, kerajaan negeri berpendirian pembinaan lebuh raya dalam negeri itu perlu membawa manfaat bukan saja kepada pengguna, tetapi penduduk di kawasan lebuh raya itu dibina.

Menurutnya, pendekatan sama akan digunakan dalam mempertimbangkan permohonan kelulusan lebuh raya lain yang dicadangkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

Lebuh raya berkenaan adalah sepanjang 14.9 kilometer dan ia dibina sepenuhnya secara jejambat yang menghubungkan Damansara di utara dengan Bandar Kinrara di selatan membabitkan kos kira-kira RM2.2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 7:35 AM