Ketua Menteri Chow Kon Yeow berucap ketika melancarkan majalah inPenang edisi ke-100 di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berucap ketika melancarkan majalah inPenang edisi ke-100 di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Penurunan paras Sungai Muda tidak menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA) di Pulau Pinang dengan proses pengambilan air dari sungai tersebut masih berjalan seperti biasa untuk disalurkan kepada pengguna di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata pihaknya percaya pihak yang bertanggungjawab menguruskan sungai tersebut dapat memastikan bekalan air mencukupi untuk dirawat selain digunakan untuk tujuan pertanian.

"Pada ketika ini, kita mendapati pam yang digunakan masih boleh mengepam air dari Sungai Muda kerana ia dipasang dengan amat dalam ke bawah permukaan sungai.

"Jadi, ini bermaksud walaupun paras sungai menurun, air kadarnya masih mencukupi untuk dipam keluar kerana kedudukan pam lebih tinggi daripada paras air," katanya selepas melancarkan majalah inPenang edisi ke-100 di sini, hari ini.

Chow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, pihaknya sentiasa memantau dan mengambil langkah bersiap siaga berhubung situasi di Sungai Muda yang menunjukkan trend penurunan berikutan cuaca panas ketika ini.

Ini memandangkan LRA Sungai Dua mengeluarkan kira-kira 80 peratus daripada air terawat dari Sungai Muda untuk dibekalkan kepada pengguna di Pulau Pinang.

"Ini memandangkan Pulau Pinang adalah tempat terakhir terletak di hilir Sungai Muda dan kita akan terus memantau paras air sungai tersebut.

"Saya tidak mahu kata (kita) tidak perlu risau memandangkan air itu satu komoditi Yang amat tidak ternilai harganya kalau tiada air, tiadalah nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:05 PM