GAMBAR hiasan. Empangan Air Itam. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Empangan Air Itam. FOTO arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Empangan Air Itam di sini mengalami penurunan paras air daripada 83 peratus kepada 66.7 peratus berikutan insiden paip pecah di dasar Sungai Perai 18 Disember tahun lalu.

Ia susulan penggunaannya ditingkatkan bagi menampung kegunaan penduduk terjejas terutamanya di Daerah Barat Daya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata rekod pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air Itam (LRA) yang digunakan semasa krisis itu berlaku adalah sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) berbanding 22JLH pada hari biasa.

"Paras Empangan Air Itam dijangka akan terus menurun pada minggu akan datang kerana pengeluaran air terawat perlu ditingkatkan lebih banyak lagi semasa tempoh gangguan bekalan air berjadual mulai 10 Januari ini.

"Disebabkan penjanaan air terawat perlu ditambah untuk menampung bekalan air ke kawasan lebih luas, maka kita menjangka paras Empangan Air Itam akan merosot kepada 56 peratus sehingga 15 Januari ini," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Capstone Corporate Suitesdi Batu Kawan dekat sini, hari ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, paras air di empangan itu masih mencukupi untuk menampung penggunaan bagi tempoh sehingga 66 hari.

Beliau turut menasihati pengguna supaya menjimatkan penggunaan air terutamanya menjelang musim perayaan memandangkan taburan hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Itulah selalunya kita tekankan dan memang menyeru supaya semua pengguna menjimatkan air. Paras air akan menurun seperti tahun-tahun lalu pada musim panas apabila taburan hujan kurang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 4:53 PM