Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Beberapa isu teknikal dihadapi menyebabkan gangguan bekalan air di sesetengah kawasan di Pulau Pinang mengambil tempoh masa lama untuk dipulihkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang berlaku pada Rabu lalu memerlukan sedikit masa untuk memulakan semula operasi pengisian air ke rumah pam dan tangki simpanan, sebelum disalurkan kepada pengguna.

Menurutnya, sistem penyampaian air mempunyai banyak kekangan yang mana pelbagai isu teknikal perlu ditangani.

"Untuk 'reboot' (memulakan semula) operasi air ia tidak mudah kerana memerlukan masa tidak seperti kita reboot telefon bimbit yang mengalami kerosakan teknikal.

"Sistem penyampaian air ini banyak kekangan dari segi teknikal termasuk rumah pam dan tangki simpanan air yang perlu diisi semula sebelum air boleh disalurkan kepada pengguna.

"Bagaimanapun, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berusaha sedaya upaya mengatasinya, saya percaya hampir kesemua kawasan menghadapi gangguan bekalan air sudah dipulihkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu gangguan bekalan air yang masih berlaku walaupun dalam kemas kini terbaharu PBAPP menyatakan masalah itu sudah pulih sepenuhnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ditemui media ketika hadir Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Nibong Tebal Arena Daerah Seberang Perai Selatan di Jalan Bukit Panchor di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ditemui media ketika hadir Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Nibong Tebal Arena Daerah Seberang Perai Selatan di Jalan Bukit Panchor di sini. FOTO DANIAL SAAD

Terdahulu, Kon Yeow ditemui pada Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena di Jalan Bukit Panchor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, beliau dimaklumkan bahawa gangguan bekalan air di kawasan Seberang Perai sudah kembali pulih seperti biasa, namun ada tiga blok di satu lokasi di bahagian pulau difahamkan masih belum menerima air.

"Ada kalanya, masalah wujud dalam rumah pangsa sendiri apabila sistem pam tidak berfungsi, maka air yang sampai tidak dapat dipam masuk.

"Selain itu, punca kawasan tinggi juga menyebabkan air lambat tiba kerana air akan sampai ke kawasan rendah dahulu sebelum ada tekanan yang cukup untuk bawa air ke tingkat atas serta kawasan perumahan di lereng bukit," katanya.

Secara keseluruhannya, PBAPP mengambil masa selama enam hari memulihkan gangguan bekalan air yang dihadapi 660,000 pengguna air berdaftar di negeri ini secara berperingkat.

Gangguan bekalan air terbabit berlaku susulan kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah menyebabkan kadar kekeruhan air mentah tinggi sehingga LRA Sungai Dua dekat sini terpaksa dihentikan tugas selama empat jam pada Rabu lalu.

Ekoran itu, PBAPP segera mengurangkan pengabstarakan air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan air mentah disimpan di Empangan Mengkuang untuk mengurangkan kekeruhan di terusan Sungai Dua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 12:07 PM