DERIC bersama Ah Huat dan Daniel pada sidang media di Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
DERIC bersama Ah Huat dan Daniel pada sidang media di Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Diseksa dengan alat renjatan elektrik, dipukul, dipaksa berjemur di bawah matahari terik dan diarah berlari tanpa henti.

Itu penderitaan dialami mangsa pemerdagangan manusia yang dikurung sindiket penipuan selain dipaksa bekerja tanpa bayaran selama dua tahun, sebelum berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia bulan lalu.

Rakyat Malaysia mahu dikenali Ah-Huat, 29, mendakwa menjadi hamba kepada sindiket penipuan itu selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan luar negara dengan gaji lumayan.

Menurut lelaki berasal dari Johor itu, semuanya bermula pada tahun 2022 apabila dia tertarik dengan iklan pekerjaan Teknologi Maklumat (IT) yang menawarkan gaji antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

"Saya menjalani temuduga pekerjaan menerusi panggilan video sebelum diberitahu berjaya dan perlu melapor diri di Bangkok, Thailand. Mereka turut menyediakan tiket penerbangan kepada saya.

"Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Thailand, saya diiring dua lelaki warga Myanmar yang bersenjata dan diarah menaiki kenderaan dipandu seorang lelaki warga tempatan.

"Pasport dan telefon bimbit saya dirampas, lalu saya terus dibawa ke sempadan Thailand-Myanmar. Saya kemudian dibawa menyeberang sungai masuk ke Myanmar sebelum tiba di lokasi pekerjaan di Myawaddy," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Cabang Keadilan Segambut, Deric Teh dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Bercerita lanjut, Ah Huat berkata, dia diberikan sebuah telefon bimbit dan senarai nombor telefon untuk dihubungi serta perlu mencapai jumlah sasaran mangsa yang ditetapkan oleh pengurus setiap hari.

Katanya, jika gagal mencapai sasaran ditetapkan mereka dipaksa bekerja tanpa henti sehingga dia sendiri pernah bekerja 72 jam tanpa rehat.

"Sekiranya ada antara kami tertidur semasa bekerja, pasti kami akan diseksa dan didenda dengan berdiri bawah matahari, mengangkat batu serta berlari tanpa henti.

"Saya pernah cuba lari tapi tak berhasil. Saya diarah bayar tebusan kira-kira RM240,000 jika mahu dibebaskan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia berjaya menghubungi keluarganya meminta diselamatkan ketika dia dibawa sindiket ke Kemboja pada Januari lalu.

Ah Huat berkata, keluarga kemudian meminta bantuan kerajaan dan MHO sebelum akhirnya dia diselamatkan dengan dibawa pulang ke Malaysia pada bulan lalu.

Sementara itu, Daniel berharap kerajaan mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, MHO menerima dua lagi kes baharu membabitkan mangsa penipuan pekerjaan luar negara pada minggu lalu dan kini pihaknya sedang berusaha untuk membantu membawa mereka pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:26 PM