POLIS memburu Andrew Jarau berhubung kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan. FOTO ihsan polis
POLIS memburu Andrew Jarau berhubung kes amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan. FOTO ihsan polis
Joshua Eric


Sri Aman: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Betong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, suspek dikenali sebagai Andrew Jarau, 38, dan berketurunan Iban.

"Polis menerima laporan mengenai kejadian itu jam 6.43 petang pada 10 April lalu.

"Suspek dilaporkan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal di Betong," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod dadah dan melarikan diri sejak kejadian terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Polis meminta mana-mana individu untuk menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, Sarjan Suzy Andrew Baie di talian 011-14037375 jika mempunyai maklumat lanjut mengenai kes ini.

"Mereka juga boleh tampil ke balai polis berdekatan jika mahu menyalurkan maklumat lanjut berkaitan kes terbabit," katanya.

Beliau berkata, suspek sudah disenarai sebagai individu kehendaki polis dengan maklumat berkenaan penting untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 1:28 PM