GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Tindakan seorang lelaki yang membuat perkongsian pornografi kanak-kanak mengundang padah apabila ditahan polis Rabu lalu.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan jam 6 petang di sebuah rumah di Semenyih, di sini, bagi membantu siasatan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, polis menahan suspek selepas membuat perkongsian pornografi kanak-kanak di kumpulan WhatsApp.

Menurutnya, maklumat diperoleh selepas tular di laman sosial Twitter mengenai kegiatan kumpulan WhatsApp yang dikatakan mempromosikan kegiatan seksual kanak-kanak.

"Hasil risikan bahagian D11 Bukit Aman berjaya mengenalpasti suspek dan membuat tangkapan sebelum merampas barangan berkaitan kes.

"Suspek kini dalam tahanan reman bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suspek ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pornografi di Internet dan mempromosi pelbagai aktiviti seksual kanak-kanak melalui media sosial.

"Dalam serbuan itu pihak polis merampas telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mengandungi gambar dan video bagi tujuan mempromosikan aktiviti tidak bermoral ini kepada umum dan pihak tertentu.

"Suspek direman bermula Khamis lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:22 PM